Ulasan Buku
ULASAN BUKU
Instructor's Manual to Accompany How To Design and Evaluate Research in Education
Jack R. Fraenkel dan Norman E. Wallen,
McGraw-Hill, Inc., New York / 1993
Buku ini mengandungi 240 halaman muka surat dan dibahagikan kepada 20 bab yang mana dimulai dengan saranan reka bentuk kursus penyelidikan yang hendak dikendalikan oleh pembaca/penyelidik.
Buku ini memberikan perspektif yang boleh dikatakan lengkap dan menyeluruh kepada guru dan pensyarah yang diamanahkan mengendalikan kursus penyelidikan. Walaupun pada asasnya buku ini berfokus kepada pengajaran kursus pra siswazah dan ijazah tinggi, guru dan pensyarah yang mengendalikan kursus penyelidikan di sekolah juga memperoleh input penting tentang bidang pendedahan yang perlu disampaikan kepada peserta kursus asas penyelidikan, sama ada guru atau pelajar pra universiti. Langkah penyampaian, bahan ujian, ulasan penyelidikan dan contoh yang disediakan dalam setiap bab disusun dengan begitu jelas dan teratur supaya lebih mudah digunakan semasa menyampaikan kuliah, atau semasa mengendalikan kelas tutorial tentang penyelidikan.
Bab dua tertumpu kepada cara menyediakan masalah penyelidikan, soal jawab dan ujian aneka pilihan bagi mengukur penyampaian kursus. Bab 3 menyentuh etika dalam penyelidikan, termasuk perlindungan terhadap subjek / responden kajian, kerahsiaan, persetujuan berpengetahuan dan hak kanak-kanak jika mereka dilibatkan.
Manakala Bab 4 pula, mengkategorikan pembolehubah, serta membandingkan hipotesis dengan soalan penyelidikan. Bab 5 ialah tentang tinjauan bacaan yang perlu diterangkan dari segi kaedah dan sumber akses yang autentik.
Dalam Bab 6, penulis menyarankan tunjuk ajar pemilihan sampel supaya dapat digeneralisasikan kepada populasi. Bab 7 pula mengetengahkan tentang proses instrumentasi bagi mentadbirkan penyelidikan yang sejajar dengan jenis data yang hendak dikutip.
Bab 8 menjurus kepada cara menentukan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen dalam kutipan data, serta jenis kesalahan pengukuran yang mungkin berlaku. Bab 9 membincangkan sejumlah persembahan statistik deskiptif dalam laporan penyelidikan. Manakala, Bab 10 tertumpu kepada statistik inferensi. Bab 11 tentang signifikan keputusan penyelidikan.
Bab 12 memberi penegasan terhadap kawalan kesahan dalaman. Bab 13 hingga 18 pula menyajikan kaedah penyelidikan: eksperimental, korelasi, perbandingan sebab-musabab, tinjauan, kualitatif dan pensejarahan.
Bab 19 memberi panduan tatacara menulis kertas cadangan dan laporan penyelidikan. Bab terakhir pula membincangkan pelaksanaan penyelidikan di sekolah yang disertakan dengan contoh dan lampiran.
Dalam buku ini, tumpuan dikhususkan kepada penyelidikan tindakan yang bertujuan membuat refleksi amalan p & p sedia ada, dan elemen penambahbaikan yang diperlukan. Selain itu, buku panduan ini juga dapat digunakan bagi membimbing pelajar pra universiti tentang proses dan tatacara penyelidikan dengan pilihan kaedah tinjauan yang hanya menghendaki pentadbiran penyelidikan hanya sekali. ilmu yang terkandung dalam buku ini boleh dimanfaatkan dalam mereka bentuk taklimat asas penyelidikan kepada guru dan pelajar pra universiti.
